CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, February 5, 2009

Aplikasi Multimedia dalam Bidang Pendidikan Dan Kesihatan









Pengenalan

Multimedia merupakan satu perkara yang amat sinonim dengan persekitaran kita. Televisyen merupakan satu contoh aplikasi multimedia dalam kehidupan, kombinasi elemen multimedia seperti teks, grafik, video, bunyi dan juga animasi menghasilkan program-program di televisyen. Namun sejajar dengan perkembangan teknologi yang pesat, penggunaan multimedia telah diperluaskan dalam bidang pendidikan, pentadbiran, perbankan, kesihatan dan pelbagai lagi.

 Multimedia boleh didefinisikan sebagai gabungan teks, grafik, bunyi, video dan juga animasi yang akan menghasilkan satu hasil yang berkeupayaan interaktif yang tinggi. Jika dilihat dari perspektif sebagai penggunam komputer misalnya, segala paparan komputer itu adalah multimedia. Justeru multimedia merupakan satu kombinasi yang dapat menarik perhatian sewaktu aktiviti komunikasi dijalankan

Aplikasi Multimedia dalam Bidang Pendidikan

Pendidikan merupakan satu bidang yang dilalui oleh semua manusia, namun perubahan teknologi maklumat yang pesat telah membuatkan kaedah pengajaran di sekolah mahupun di universiti dipertingkatkan lagi dengan aplikasi multimedia yang mampu menarik perhatian pelajar terhadap sesuatu maklumat pengajaran. Multimedia juga dapat memudahkan guru untuk menyampaikan maklumat dengan cara yang berbeza dengan cara sebelum ini. Sebelum ini bidang pengajaran di sekolah terhad kepada buku teks, carta minda dan sebagainya, namun dengan elemen multimedia, cara pengajaran itu mampu berubah dengan penambahan seperti bunyi dan juga animasi.

            Multimedia telah memberikan banyak manfaat kepada pembangunan sistem pendidikan. Kemampuan multimedia memberikan pengajaran secara persedirian dapat membantu pelajar mengulangkaji subjek yang telah dipelajari, seterusnya menaikkan motivasi pelajar dengan penjelasan yang menarik . Kini paparan video bermaklumat juga mampu membuatkan pelajar berfikir secara kreatif dan kritis terhadap apa yang dilihat kerana interpretasi seseorang individu itu berbeza antara satu sama lain. kombinasi kesemua elemen itu mampu membuatkan daya ingatan seseorang pelajar itu meningkat kerana animasi, warna boleh menjana pemikiran seseorang pelajar.

 Aplikasi Multimedia dalam Bidang Perubatan

            Bidang kesihatan juga merupakan salah satu aspek yang penting dalam kehidupan seharian kita. Di Malaysia sendiri kerajaan telah melakukan pelbagai usaha dalam menaik taraf sektor perubatan, terutamanya dalam menangani masalah kekurangan pakar kesihatan. Walaupun kini pertambahan bilangan doktor di Malaysia dapat dilihat namun masih tidak dapat menampung bilangan pesakit yang kian bertambah. Justeru dengan perkembangan teknologi maklumat dan multimedia satu aplikasi perdana telah dilaksanakan iaitu Tele-perubatan.  Teleperubatan ialah suatu sistem yang menguruskan dan mengendalikan aspek perubatan secara dalam talian. Secara ringkasnya, ia membolehkan rakyat Malaysia menerima perubatan dari rumah tanpa perlu pergi ke institusi perubatan seperti klinik atau hospital baik institusi perubatan kerajaan mahupun swasta. Pesakit hanya perlu memiliki sambungan ke internet dan pesakit boleh melawati laman web yang menyediakan perkhidmatan rawatan melalui internet. Lawan web ini akan beroperasi secara fizikal di mana-mana kawasan dalam negara. Dari lokasi tersebut, doktor yang bertugas secara dalam talian, akan melayani pesakit yang terhubung dengannya secara persidangan. Persidangan tersebut adalah dalam bentuk audio dan video. Doktor tersebut akan berinteraksi dengan pesakit, dan memberi preskripsi ubat pada pesakit berkenaan. Pesakit tersebut seterusnya boleh pergi ke kedai farmasi berdekatan untuk mendapatkan ubat berkenaan

            Di sinilah dapat kita lihat aplikasi multimedia begitu penting dalam tele-perubatan. Komputer merupakan alat perkakasan yang membantu doktor dan pesakit  berinteraksi. Komputer juga memerlukan elemen multimedia supaya segala penerangan dapat diberikan secara jelas dan tepat sambil meminimumkan masa dan tenaga. Peralatan yang digunakan seperti pengimbas x-ray, CT scan, MRI dan juga ultrabunyi sudah tentu menggunakan elemen multimedia iaitu teks, grafik, video, bunyi dan juga animasi dalam memberikan gambaran kepada doktor untuk melakukan diagnosis.

Dalam bidang teleperubatan juga, kita akan menggunakan doktor pakar yang berada di luar negara untuk membuat diagnosis terhadap pesakit yang berada di Malaysia. Doktor pakar dapat melihat gambar pesakit melalui komputernya yang dipancarkan dari hospital di Malaysia untuk membuat analisis, rujukan dan cadangan rawatan. Sebagai contoh sewaktu doktor ingin memberi penerangan tentang keadaan pesakit dengan bantuan gambar tanpa teks atau audio sudah tentu pesakit membuat pelbagai andaian, begitu juga jika doktor ingin menunjukkan jenis ubat yang perlu dibeli hanya dengan memberi nama ubat tanpa gambar juga menyukarkan pesakit ingin mengenalpasti rupa bentuk ubat tersebut.

Kesimpulan

             Kesimpulannya multimedia penting kepada bidang teknologi komunikasi maklumat serta perkakasannya. Tanpa elemen multimedia sudah tentu sesuatu maklumat itu sukar untuk ditafsir dengan betul dan juga mampu menaikkan motivasi dan ingatan manusia dalam menerima satu maklumat. 

0 comments: